Ahad, 11 Oktober 2009

Tingkatkan keyakinan terhadap bahasa Melayu

Oleh DR. SHARIFUDIN LUBIS

DUA peristiwa besar berkaitan bahasa Melayu telah berlaku dalam tempoh dua minggu yang lalu. Pertama, di Johor Bahru telah bergema laungan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Kedua, di Kuching telah dilancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 dengan tema Bahasa Jiwa Bangsa.

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan seterusnya menjadikannya bahasa dunia perlu bermula dengan niat yang luhur dan tulus. Kita perlu yakin bahawa bermula amal adalah dengan niat. Setiap anggota masyarakat perlu fokus bahawa perjuangan bahasa adalah demi bahasa dan bangsa. Jika dicampuradukkan dengan agenda yang lain, maka akan tercemarlah amal perjuangan itu kelak.

Keadaan inilah yang telah berlaku dalam kalangan masyarakat sehingga memperlihatkan sikap tidak yakin terhadap bahasa Melayu. Sewaktu di Johor Bahru itu, dua kejadian kebetulan sempat dialami oleh penulis. Pertama, terserempak dengan seseorang yang kelihatan seperti tokoh korporat di dalam lif sewaktu menuju tempat persidangan.

Beliau terperanjat dan kagum apabila dimaklumkan bahawa persidangan itu dihadiri oleh beberapa sarjana termasuk dari Rusia, China, dan Jepun yang membentangkan makalah mereka dalam bahasa Melayu.

Kedua, terdengar seseorang merungut bahawa terdapat beberapa tokoh dan pejuang bahasa Melayu tempatan yang banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka.

Kedua-dua kebetulan ini memperlihatkan masalah krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu yang dialami oleh masyarakat negara ini sehingga menimbulkan banyak situasi 'cakap tidak serupa bikin'. Keadaan sedemikian menjadi salah satu punca bahasa Melayu dicemuh dan diperlekeh.

Satu lagi punca hilang keyakinan itu adalah berkaitan dengan cara pengayaan korpus bahasa Melayu yang membabitkan kosa kata dan penciptaan istilah. Dari segi kosa kata, fenomena bahasa rojak seolah-olah menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu kekurangan perkataan untuk digunakan sekalipun dalam keadaan yang tidak rasmi.

Satu lagi korpus yang telah dibangunkan dengan begitu dinamik sekali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya, dan oleh sarjana-sarjana bahasa Melayu amnya ialah dari segi peristilahan.

Walaupun sudah hampir satu juta istilah diwujudkan meliputi semua bidang tamadun dunia dan teknologi terkini, masyarakat pengguna masih gagal memanfaatkannya sehingga timbulnya dasar PPSMI dahulu.

Namun demikian kini kedengaran pula suara-suara sumbang mengatakan bahawa kekayaan istilah bahasa Melayu itu adalah hasil pinjaman bahasa Inggeris. Mereka tidak tahu bahawa bahasa Inggeris yang hendak diagung-agungkan itu meminjam lebih 60 peratus bahasa Latin.

Dengan penangguhan pemansuhan PPSMI ke tahun 2012, masa yang ada ini hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh agensi bahasa, sarjana bahasa, dan masyarakat negara ini untuk membina semula keyakinan terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa dunia sekali gus.

Persidangan di Johor Bahru itu mencatatkan rekod kewujudan 129 pusat yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di seluruh dunia. Semuanya menanti untuk mengeksploitasi kekayaan khazanah bahasa Melayu yang tidak disedari oleh masyarakat penuturnya sendiri.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,

Universiti Putra Malaysia

Sumber : http: //www.utusan.com.my/