Selasa, 24 November 2009

Memahami Sejarah Budaya Makanan Nusantara

Oleh Nurul Halawati Azhari

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama)-- Jika di Malaysia terdapat ramai penggemar tempe, begitu juga di Indonesia. Jika di sini ada ramai peminat sate, begitu juga di sana.

Kita ada nasi himpit, mereka ada soto. Jika kita ada kuih bingka, di sana mereka terkenal dengan kuih bika Ambon.

Hakikatnya, bila bercerita tentang makanan, begitu banyak persamaan di antara kedua-dua negara.

Malaysia dan Indonesia, dua negara bangsa, kedua-duanya terikat dengan satu perkara yang mendekatkan mereka -- budaya serumpun yang diwarisi sejak nenek moyang mereka lagi. Disebabkan itu jugalah, kedua-duanya memiliki sejarah budaya kulinari yang sama.

Sewaktu Persidangan Antarabangsa Hubungan Malaysia-Indonesia 2009 (Media dan Budaya) anjuran Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya baru-baru ini, selain membincangkan isu dasar dan kebudayaan serumpun, yang adakalanya mencetuskan hubungan turun naik dua negara ini, turut diberi perhatian ialah isu makanan.

Ia mungkin topik terpencil bagi sesetengah pihak, namun tanpa disedari, impak makananlah yang berjaya memasuki hingga ke seluruh peringkat umur dan lapisan masyarakat di kedua-dua negara.

Hasil kajian Prof Dr Ir Sudrajati Ratnaningtyas, dari Universitas Winaya Mukti, Bandung, Jawa Barat, bertajuk "Peranan Media Massa Dalam Mensosialisasikan Sejarah Budaya Kuliner Nusantara Sebagai Akar kebudayaan Yang Sama Antara Indonesia-Malaysia" boleh membuka mata sesetengah pihak yang cenderung memperkata mengenai hak asal usul makanan bagi kedua-dua negara.

Saling menuntut makanan tertentu sebagai milik sesuatu daerah atau sesuatu bangsa ialah satu kekeliruan kerana budaya Indonesia-Malaysia-Singapura terhasil daripada perpaduan budaya yang sama.

Menurut Dr Ratna, budaya ketiga-tiga negara ini berasal daripada pelbagai kebudayaan luar yang bercampur apabila ia berkembang di nusantara. Dengan demikian, tidak ada budaya makanan milik sesuatu daerah atau satu bangsa tertentu.

FAHAMI SEJARAH AWAL

Indonesia dan Malaysia mempunyai nenek moyang yang sama iaitu masyarakat proto-Melayu yang bermigrasi 5,000 tahun sebelum Masehi, kata Dr Ratna.

Datuk Profesor Emeritus Mohamed Ghouse Nasuruddin, pensyarah di Universiti Sains Malaysia dalam ucaptamanya pada majlis itu berkata dunia Melayu merangkumi kawasan Asia Tenggara dari Sumatera di barat ke Spice Islands di timur, Indo China (Kemboja, Thailand, Myanmar dan Vietnam) di utara, Semenanjung Tanah Melayu di tengah hingga ke kepulauan Jawa termasuk Sulawesi dan New Guinea di Selatan, Pulau Borneo dan Filipina di timur. Ia mengandungi penduduk dari satu rumpun dan dikenali sebagai nusantara.

"Tamadun Dunia Melayu bermula dengan pengaruh tiga budaya, iaitu Hindu, Islam dan Barat. Dan sebelum kedatangan pengaruh budaya India dengan agama Hindunya, kawasan dunia Melayu ini dihuni oleh orang yang berasal dari tanah besar Asia yang berhijrah dari sana mengikut laluan darat ke kawasan Asia Tenggara.

Mereka melalui Kemboja, Burma, Thailand, Vietnam, Semenanjung Tanah Melayu dan terus ke kawasan kepulauan rantau ini sehingga ke kepulauan Pasifik," jelas beliau.

NUSANTARA BERKONGSI BUDAYA MAKANAN

Melihat kepada sejarah itu, ternyata budaya yang berkembang di Nusantara terutamanya yang mencakupi Indonesia, Malaysia dan Singapura ialah hasil penyatuan pelbagai budaya iaitu Cina, India, Arab dan Eropah.

Dr Ratna berkata: "Perpaduan budaya ini menghasilkan perpaduan dalam budaya kulinari. Saya percaya ia berlaku kerana masyarakat Nusantara sebenarnya ialah masyarakat yang bertoleransi".

Kadang kala suatu makanan yang dianggap khusus milik suatu bangsa sebenarnya turut dituntut oleh bangsa lain. Sebagai contoh, tempe yang dianggap berasal dari Indonesia, turut terdapat di China yang dinamakan koji.

Bagaimanapun, menurut Dr Ratna lagi, terdapat juga kajian yang mengatakan tempe ialah sumbangan Jawa pada seni masakan dunia. Dengan demikian tempe dianggap asli dari Jawa yang ditemukan pada abad ke-19, tetapi bahan tempe yang berasal dari kacang soya pula berasal dari negara China sejak 5,000 tahun dahulu.

Dr Ratna turut menyentuh beberapa blog dari Malaysia yang menyenaraikan 100 nama makanan popular di negara ini untuk dituntut sebagai makanan asli Malaysia sebagai tindakan membalas balik tuntutan Indonesia ke atas rendang.

Antaranya ialah nasi lemak, nasi ulam, nasi kerabu, Char Kuey Teow Pulau Pinang, laksa, rendang, serunding, kari kepala ikan, roti canai, tosai dan kuih bakul serta berpuluh lagi makanan yang popular di sini.

Bagi Dr Ratna, rendang, laksa atau apa sahaja makanan, baik di Indonesia mahupun di Malaysia, kedua-dua pihak termasuklah negara lain di rantau nusantara, perlu mengkaji semula sejarah perkembangan budaya rantau ini.

Rendang yang turut dituntut oleh kedua-dua negara juga asalnya menggunakan rempah yang dibawa menerusi perdagangan rempah oleh kerajaan Majapahit pada abad ke-14.

Selepas Majapahit menakluki Palembang (ibu kota Sriwijaya), makanan yang digemari ketika itu ialah laksa, malah dianggap makanan pilihan pada abad ke-14 di daerah-daerah yang menjadi kekuasaan Majapahit.

"Laksa berasal dari India dan merupakan padanan kata nama 'mi' yang berasal dari China. Dengan demikian makanan ini ialah hasil percampuran budaya bersama, iaitu India, Cina dan Nusantara. Kini laksa antara makanan istimewa baik di Malaysia, Indonesia dan Singapura," jelas beliau.

Bagi rempah pula, setelah kejatuhan Majapahit, perdagangannya dikuasai pula oleh kerajaan Melaka yang seterusnya cuba dikuasai pedagang Eropah, iaitu Portugis.

USAH BUAT TUNTUTAN MELULU

Penjelasan bersama bukti sejarah yang tidak dapat disangkal ini boleh menjadi satu usaha menjernihkan kontroversi terhadap tuntutan mana-mana pihak mengenai hak eksklusif makanan tertentu.

Pastinya, buat kelompok yang gemar mengambil tindakan melulu tanpa memikirkan kesannya terhadap hubungan kedua-dua negara ini, perlu memahami persamaan budaya masyarakat di Indonesia dan Malaysia, kata Dr Ratna.

Menurut beliau, perkara ini timbul berikutan rantau nusantara mempunyai budaya yang terhasil daripada percampuran pelbagai budaya asing.

"Sebaiknya kita tidak harus saling menuntut budaya sebagai milik sendiri, biarkan budaya itu menjadi milik bersama. Dengan demikian perselisihan yang tidak sepatutnya berlaku dapat dihindari," tegasnya.

Sumber : http://www.bernama.com/

MELENTUR REBUNG


Melentur buluh pada rebungnya

Melentur rebung pada akarnya

Melentur akar pada diamnya

Melentur diam pada akalnya

Melentur akal pada ilmunya

Melentur ilmu pada katanya

Melentur kata pada lidahnya

Melentur lidah pada hatinya

Melentur hati pada takwanya

Melentur takwa pada imannya

M elentur iman pada amalnya

Melentur amal pada ikhlasnya

Melentur ikhlas pada diamnya


Dalam diam

Rebung yang dilentur

Tetap subur menjadi buluh

Dibaluti miang yang kukuh.


Nukilan :

Onn Abdullah

Ipoh, Perak

Sumber : Koleksi Majalah Impiana

Komitmen swasta, awam banteras rasuah


RASUAH merupakan barah ekonomi negara. Inilah hakikatnya yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa sahaja. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan laporan Transparency International 2009 bahawa Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH berdasarkan dapatan kajian Bank Dunia, menganggarkan bahawa rasuah menyebabkan kos kepada Malaysia sehingga sebanyak RM10 bilion setahun. Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar yang boleh memberi implikasi amat besar kepada sektor ekonomi negara.

Namun sejauh manakah usaha yang dijalankan dapat membendung gejala rasuah ini? Amat menyedihkan kerana menurut PEMUDAH secara per kapita, Malaysia hanyalah membelanjakan sebanyak RM5 bagi menangani rasuah. Bahkan, statistik juga menunjukkan bahawa hanya 7,223 kes rasuah yang disiasat daripada 71,558 yang dilaporkan di antara tahun 2000-2006. Jumlah yang dapat dibuktikan bersalah melakukan rasuah hanyalah sekadar 0.7 peratus atau 524 kes sahaja.

Maka sesuatu yang tidak mengejutkan apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2009 yang dikeluarkan oleh Transparency International, baru-baru ini, menunjukkan bahawa kedudukan Malaysia turun ke tangga 56 pada tahun ini berbanding berada di kedudukan ke-47 dan 43 pada tahun 2008 dan 2007.

Ini menggambarkan bahawa usaha-usaha yang lebih ampuh perlu dilakukan bagi membanteras gejala rasuah ini. Oleh itu, apabila kerajaan menjadikan perkara ini sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), semua pihak tidak kira orang awam, swasta dan sektor awam perlulah bersama-sama berganding bahu membendung gejala ini sebelum ia menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan seperti menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melaksanakan reformasi seperti memperkenalkan Akta Pemberi Maklumat untuk melindungi saksi rasuah, dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas kakitangan awam yang terlibat dalam gejala rasuah dan penyelewengan seperti yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan kerjasama oleh pihak swasta dan orang awam.

Tanggungjawab membanteras rasuah ini tidak seharusnya terbeban kepada SPRM sahaja. SPRM tidak mampu bertindak tanpa maklumat yang mencukupi dan kerjasama oleh semua pihak terutamanya saksi-saksi kes rasuah.

Peratusan kecil kes yang dapat diselesaikan berbanding jumlah aduan menggambarkan bahawa proses siasatan merupakan satu aspek yang amat penting dalam semua kes rasuah. Bahkan, proses siasatan SPRM perlu diselesaikan dengan lebih pantas lagi kerana segala maklumat daripada saksi-saksi hanya boleh diperolehi pada waktu pejabat sahaja.

Menurut Presiden Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia (CFE), Akhbar Satar, jika siasatan ditangguhkan, saksi boleh lari, sorok bukti atau hapuskan keterangan dan ini akan menimbulkan banyak masalah kepada SPRM. Bermakna, proses menyoal saksi dalam waktu pejabat merupakan satu cabaran kepada pihak SPRM untuk memastikan segala bukti dapat dikumpul dengan mencukupi supaya semua pihak memperoleh keadilan yang sewajarnya tanpa perlu menangguhkan siasatan dengan tempoh yang lama.

Oleh itu, janganlah hanya mengharapkan usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan sahaja. Usaha-usaha berterusan untuk menangani gejala ini memerlukan komitmen semua pihak kerana peratusan orang awam dan kakitangan swasta yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan rasuah pada tahun lepas adalah hampir sama berbanding sektor awam iaitu sebanyak 54 peratus dan 46 peratus bagi sektor awam.

Peratusan ini memberi petanda bahawa gejala rasuah ini melanda semua pihak termasuklah orang awam dan pihak swasta bahkan peratusan golongan ini tinggi sedikit berbanding kakitangan awam.

Di pihak swasta, penubuhan Jabatan Audit Dalaman dengan kerjasama juruaudit luar mampu mengurangkan kes-kes rasuah. Dua golongan ini sewajarnya diletakkan dalam kedudukan yang tersendiri agar mampu menyiasat sebarang penyelewengan dan kes rasuah yang berlaku sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Mereka merupakan golongan barisan hadapan yang cukup mahir dalam sektor swasta untuk mengesan dan membanteras sebarang penyelewengan, penipuan dan rasuah meskipun skop kerja mereka berbeza di antara satu sama lain.

Namun, apalah gunanya jika dua golongan ini tidak dapat kerjasama secukupnya daripada pihak atasan sektor swasta. Dengan kata lain, pihak atasan ini mestilah bersikap terbuka tentang kepentingan menangani penyelewengan dan rasuah. Sikap terbuka ini perlu disusuli dengan tindakan. Sudah tentu jawapan kepada tindakan ini ialah melaksanakan tadbir urus yang terbaik.

Ini kerana tadbir urus yang terbaik mengajar seseorang tentang akauntabiliti, ketelusan dan integriti sebagai elemen-elemen yang terpenting yang sewajarnya diterapkan sebagai budaya dalam sesebuah syarikat.

Di pihak awam dan individu, hindarilah gejala rasuah dan salurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengetahui sebarang kes rasuah yang berlaku di depan mata. Berilah sokongan kepada pihak kerajaan kerana usaha membanteras rasuah merupakan satu 'jihad' yang bukan hanya dilakukan secara bermusim tetapi sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dan tanpa mengenal erti putus asa.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Fragmen Banjir

Paras buku lali
jangan ke mana-mana, sayang
sorok resahmu di balik pintu harapan
sidai baju gusarmu di ampaian kasih
ke sini aku lipatkan kaki seluarmu.

Pada paras lutut ini
tutuplah diri dengan gebar nyali besar
lenalah dulu, bermimpilah jika mahu
nanti aku kejutkan – aku kejutkan
andai air tak surut-surut
masih mahu meladeni desa sendu ini.

Paras pinggang sekarang
bersedialah.
Sudahkah kausimpan dokumen ke syurga?

Simpanlah baik-baik dalam beg iman
pabila air tak mahu memaafkan lagi
usah lupa – bawalah bersama-sama.

Telah hampir ke dada
amaran untuk berpindah
tidak dapat kita tunggu lagi
rumah amal ini
air telah menyapa tangga
bagai ingin membasuh
noda yang dipalitkan
di dalam sedar
di luar sedar.

Berpindahlah
dari leher hampir hapuskan hidung
tak mungkin dapat bernafas lagi
carilah ruang yang lain – sementara
pabila nanti telah reda – kembalilah
namun jangan kauulangi
jangan kauulangi bejat yang lalu

Banjir datang mengingatkan
insaflah.

Nukilan:

Rimanilzah
Semanggol, Perak

Sumber :http://penyair.wordpress.com/

Guru Cemerlang lonjak prestasi akademik

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Pengiktirafan tertinggi perlu direbut semua pendidik bagi martabat profesion, ajar generasi muda

USAHA Kementerian Pelajaran memartabatkan profesion keguruan dengan mengiktiraf jawatan Guru Cemerlang (GC) pelbagai pelajaran adalah usaha terbaik melonjak prestasi akademik di semua sekolah di negara ini. Umum mengetahui bahawa bergelar guru cemerlang amatlah berat dalam merealisasikan pengajaran dan pembelajaran sempurna mendidik generasi muda menjadi insan berguna sepanjang masa.

Pun begitu, ramai di kalangan mereka masih mempunyai pelbagai stigma mengenai arah tuju, peranan dan amanah penting melunaskan hasrat murni Kementerian Pelajaran itu. Merungkai persoalan ini tentu ada hujah bernas dalam usaha mempola generasi guru cemerlang dalam erti kata sebenar berdasarkan siaran ikhtisas buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang yang dikeluarkan oleh Jemaah Nazir kementerian itu beberapa tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Selangor (Gred Khas C juga setaraf Jusa C), Zainal Sudin, berkata, guru cemerlang boleh ditakrifkan sebagai guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Golongan itu sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan. Peranan mereka pula adalah lebih menjurus kepada menjadi pakar rujuk, memberi khidmat nasihat dan memberi bimbingan kepada rakan lain.

"Selain itu, kumpulan guru ini sentiasa peka, prihatin dan gigih membuat perancangan, pelaksanaan dan pembangunan diri murid dalam pengajaran dalam mata pelajaran kepakaran. Mereka juga sentiasa mengkaji dan menghasilkan inovasi baru demi memartabatkan profesion ini bertaraf dunia. Mereka sewajarnya perlu ikhlas menyumbang bakti kepada anak didik setimpal dengan gelaran diterima mereka.

"Pada pandangan saya, ramai guru yang menghadapi pelbagai dilema dan masih merendah diri untuk memohon jawatan ini. Guru tidak perlu rasa bimbang kerana perjuangan ikhlas yang tidak 'berpura-pura' tetap diberkati Tuhan ," katanya.

Beliau berkata, sepanjang berkhidmat 21 tahun dalam kerjaya perguruan dalam mendidik pelajar menguasai pelajaran Ekonomi Asas pelbagai cabaran dihadapi mampu diharungi dengan keikhlasan hati demi anak bangsa Malaysia tercinta.

"Paling berkesan adalah pelajar mampu menilai kualiti seseorang guru itu. Biarpun banyak tahap penilaian dijalankan kementerian sebelum menobatkan anugerah kepada guru itu namun guru itu sendiri perlu menjalankan kerja dengan keikhlasan, kesabaran dan sentiasa berfikiran terbuka,

"Untuk itu setiap guru yang memenuhi syarat yang ditetapkan dengan pencapaian prestasi cemerlang tiga tahun berturut-turut bolehlah memohon dengan mengisi borang yang dibekalkan itu. Saya suka menasihatkan pentadbir sekolah iaitu guru besar dan pengetua agar membuka peluang kepada setiap guru yang berkelayakan mengisi borang tanpa menyekat dan menghalang peluang mereka," katanya.

Katanya, selepas dianugerahkan jawatan itu, mereka perlu melipat gandakan usaha agar lebih cemerlang berbanding rakan sejawat yang lain. Katanya, sebenarnya ganjaran lumayan datang kemudian. Bukan sifat seorang guru yang baik hanya mementingkan materialistik semata-mata dan bukannya kualiti kerja.

Beliau tetap bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang mengiktiraf taraf Guru Cemerlang Gred Khas C seperti jawatan pengarah di bahagian lain.

"Keistimewaan ini sungguh 'luar biasa'. Bayangkan hanya berada di sekolah, tetapi guru menikmati peluang sama kenaikan gaji pokok mencecah RM8,000 sebulan yang ditawarkan itu. Saya tidak pernah terfikir menerima gaji besar seperti ini. Rahsianya mudah, keikhlasan mendidik pelajar tanpa mengharapkan ganjaran, pangkat dan status membuahkan hasil cukup membanggakan.

"Pengiktirafan tertinggi diberikan ini perlu direbut semua guru kerana kerajaan sentiasa mempunyai perancangan jauh memartabatkan profesion yang dihormati ramai ini. Saya tidak menghadapi masalah dengan sesiapa saja di sekolah, negeri Selangor dan peringkat atasan.

"Ini kerana usaha dan perjuangan yang diberikan perlu lebih tinggi berbanding guru lain. Jawatan Gred Khas C ini membolehkan guru menerima purata gaji kasar RM7,000 hingga RM12,747.94 sebulan berdasarkan tangga gaji tertentu yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)," katanya.

Majlis Guru Cemerlang Selangor merancang pelbagai kursus, bengkel, seminar dan taklimat membantu kumpulan guru yang dipilih setiap tahun. Banyak siri perjumpaan dengan ahli yang diadakan bertujuan memantapkan kerjaya ini dari semasa ke semasa. Selangor berbangga kerana kumpulan kami juga menghasilkan program khas dikenali sebagai Program Akademi Terbilang Selangor (Pats) yang mempunyai pengisian besar menjulang pencapaian akademik pelajar pada semua peringkat.

Dalam program itu, guru perlu membuat kerja klinikal merawat masalah pelajaran dalam kelas. Selain itu, peranan ahli kami juga lebih kepada membantu Jemaah Nazir Sekolah (JNS) memantau dan menilai calon guru yang mengisi borang Guru Cemerlang setiap tahun.

Setiap ahli juga mempunyai peranan dan tanggungjawab besar memaju, memantapkan dan mengangkat prestasi mata pelajaran masing-masing. Jiwa saya lebih serasi dengan pelajaran Ekonomi Asas sejak lebih 15 tahun lalu. Justeru, setiap minggu, saya pasti keluar sekolah bertemu rakan guru untuk membimbing mereka dalam pelbagai slot aktiviti ilmiah yang berkesan.

Katanya, beliau ingin memaklumkan bahawa guru tidak boleh 'berlakon' untuk mendapat gelaran Guru Cemerlang ini. Mereka perlu menunjukkan watak sebenar bukan sekadar mencantikkan markah atas kertas sewaktu penilaian.

"Bakat kurniaan Tuhan yang diberikan kepada calon Guru Cemerlang ini perlu diketengahkan dalam setiap mata pelajaran masing-masing. Saya sangkal pendapat, jawatan ini diterima secara kebetulan. Tetapi lebih kepada pengiktirafan tertinggi usaha mereka menyumbang bakti dan usaha penuh keikhlasan itu.

"Setiap guru yang berjaya dipilih sebagai Guru Cemerlang perlu menjalankan amanah yang diberikan. Adalah tidak wajar setiap guru hanya menggunakan 'jalan pintas' memegang jawatan ini untuk beralih angin ke bidang lain selain mengajar. Saya nasihatkan sekiranya mereka ada niat untuk memasuki bidang pentadbiran perlu memberi fokus khusus kepada bidang itu semata-mata bukannya menjadi Guru Cemerlang," kataya.

Di Selangor, ada tiga lagi Guru Cemerlang Gred Khas C yang sentiasa komited memajukan dunia pendidikan di sini. Guru berkenaan adalah dari Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sabak Bernam (Bahasa Malaysia), Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas), Klang dalam pelajaran Bahasa Inggeris dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong (Matematik) .

Zainal menambah, kumpulan pemikir akademik ini ialah pelopor hebat yang sentiasa merencanakan pelbagai program menyatukan guru bagi menyertai kursus dan bengkel meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kumpulan ini sentiasa mempunyai idea baru dan mencetuskan reformasi pendidikan yang mantap sepanjang masa.

Justeru katanya, setiap guru memandang kelainan kepada guru cemerlang di sekolah. Harapan tinggi rakan lain usah dipersiakan begitu saja. Mereka mengharapkan guru ini lebih cemerlang, mantap dan sentiasa maju ke hadapan dalam semua perkara. Ikon yang diketengahkan ini wajar dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan.

Sewajarnya guru itu boleh menjadi pakar rujuk, sedia menyumbang tenaga dan boleh dibawa berbincang semua pihak. Menjadi harapan dan iltizam jemaah nazir agar guru ini sentiasa mudah didekati kerana peranan besar mereka.

Guru Cemerlang tidak mengambil pendekatan berada dalam 'zon selesa' sehinggakan melupakan tugas dan peranan mereka dalam erti kara sebenar. Peranan berat mereka pasti menjadi ringan sekiranya ada usaha berterusan untuk meningkatkan pencapaian diri dalam semua perkara.

Dalam konteks itu golongan hawa didapati ramai menjawat jawatan ini. Namun masih ada lagi guru lelaki yang boleh dibanggakan atas usaha murni perjuangan mereka mendidik anak bangsa berjaya kerana ketekunan guru wanita dalam pelbagai aspek itulah mendorong pencapaian terbaik mereka menjawat jawatan ini.

Pengiktirafan guru lelaki atau perempuan tetap sama kerana perjuangan mereka tidak tersasar tetap mempunyai fokus sama. Guru cemerlang tetap mantap dan hebat tanpa mengira kaum, jantina dan keturunan. Negara pasti 'ketandusan' guru lelaki kerana kekurangan golongan itu menjawat tugas murni ini pada masa depan.

"Saya sentiasa berpesan kepada semua ahli agar berbalik kepada matlamat dan objektif asal pengiktirafan jawatan terbaik itu. Pasti tidak berlaku sebarang masalah berbangkit nanti.

"Pada dasarnya peranan guru cemerlang dibahagikan kepada lima item yang utama berdasarkan siaran pekeliling Jemaah Nazir Sekolah. Kesemua perkara itu perlu dikotakan setiap guru yang diberikan amanah menjawat jawatan itu di sekolah. Ini merangkumi bidang membuat perancangan, pengendalian dan pembangunan diri dalam pelajaran masing-masing agar kualiti dan prestasi meningkat setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, mereka berperanan memimpin dan membantu dalam tugas kurikulum dan kokurikulum berkaitan mata pelajaran berkaitan. Selain menjadi pakar rujuk dan menjalankan kajian dan inovasi baru, mereka juga berperanan membantu menjalankan tugasan yang diarahkan oleh pelbagai pihak termasuklah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri JPN) dan Pengarah Bahagian di kementerian.

Penulis adalah seorang guru/kaunselor

Sumber : http: //www.bharian.com.my/