Khamis, 30 Jun 2011

ISU MEDIA MASSA : Program TV perlu informasi, pertahan warisan budaya


Oleh Shafezah Abdul Wahab

TELEVISYEN ialah cabang media yang berpengaruh untuk mengekal dan membentuk budaya dalam masyarakat. Bagaimanapun, kehadiran televisyen tidak memberi kesan tanpa pengisian berinformasi melalui rancangan dipaparkan.

Rancangan disiarkan di televisyen ialah pembentuk budaya. Oleh itu, kewujudan sesuatu budaya dalam masyarakat, khususnya remaja kebanyakannya dipengaruhi televisyen yang secara tidak langsung mencorak kehidupan dan nilai budaya dalam kehidupan seharian.

Rancangan di televisyen adalah bentuk persekitaran yang merangsang penonton membentuk budaya dalam diri mereka. Paparan dari aspek psikologi budaya seperti nilai, kepercayaan dan konsep kendiri dalam rancangan televisyen boleh mengubah pandangan penonton terhadap budaya yang dipegang. Perubahan pandangan inilah yang membawa kepada perubahan pola hidup mereka.

Oleh itu, rancangan televisyen wajar memaparkan elemen budaya tempatan berdasarkan warisan budaya Malaysia. Ia perlu mempertahankan nilai masyarakat berbilang kaum, agama Islam sebagai agama rasmi negara, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kebudayaan Melayu sebagai teras budaya negara.

Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan pengisian rancangan televisyen di Malaysia terlalu fokus kepada skop hiburan dan komersial melebihi keperluan maklumat warisan budaya serumpun.

Masih ramai masyarakat, malah karyawan tempatan beranggapan rancangan di televisyen mesti memenuhi selera penonton. Ini tanggapan dari perspektif Barat dengan televisyen adalah hak mutlak rakyat yang disediakan kerajaan bagi memuaskan selera mereka yang bebas tanpa sempadan.

Perspektif sebegini menjadi pencabar utama kepada teras kebudayaan bangsa, sekali gus hilang nilai budaya Timur dan moral dengan pengisian rancangan memaparkan gejala sosial seperti merempit, bohsia dan seks bebas yang kian berleluasa.

Selain itu stesen televisyen juga cenderung dengan paparan tahyul yang makin memomokkan fikiran masyarakat Melayu, khususnya sehingga terpengaruh elemen khurafat yang memesongkan akidah.

Di manakah peranan media, khususnya televisyen dalam memberi tumpuan kepada sebaran karya atau rancangan berinformasi yang dapat mempertahankan warisan budaya kita?

Perlukah stesen televisyen cenderung mengaut keuntungan dengan sajian program hiburan semata-mata dan membelakangkan nilai maklumat yang sepatutnya menjadi tonggak utama sebaran media?

Terkilan menyaksikan rancangan realiti komedi yang mana seorang pelawak terkenal memperlekehkan isu kad perakam waktu dalam jenakanya sehingga menampakkan betapa tidak berilmu pelawak itu serta rancangan itu sendiri.

Pelawak terbabit mempersoal dan mempersendakan isu ‘punch card’ yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pada 1981. Ini jelas menunjukkan rancangan televisyen kini cenderung kepada hiburan dan cetek ilmu dalam menyampaikan mesej berinformasi dan intelektual.

Dalam isu rancangan yang disiarkan, bahasa yang dituturkan perlu dititikberatkan. Bahasa adalah lambang budaya yang kita miliki. Budaya itu simbol falsafah dan pemikiran sesuatu masyarakat. Pengisian bahasa rojak kian berleluasa dalam sajian rancangan yang kononnya selaras dengan cara hidup moden masyarakat sekarang.

‘Kemewahan’ menggunakan bahasa rojak moden ini sebagai trend mempengaruhi individu dalam komunikasi seharian. Oleh itu, stesen televisyen tidak harus bersikap terlalu liberal, demokratik, atau terlalu fleksibel dalam menyiarkan rancangan di televisyen, semata-mata mahu memenuhi kehendak masyarakat.

Fenomena ini menunjukkan stesen televisyen di negara kita kurang memberi tumpuan kepada usaha kesinambungan budaya. Justeru, perlu dikurangkan rancangan luar negara yang menampilkan unsur budaya yang bercanggah dengan budaya tempatan.

Diharapkan stesen televisyen tempatan perlu mewarnai kaca televisyen dengan paparan seni warisan dan tradisi masyarakat Malaysia mengenai tatasusila, peradaban dan cara berkomunikasi yang menjadi aset dalam rancangan televisyen dalam usaha mempromosikan budaya kepada semua penontonnya.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka

Sumber : http : //www.bharian.com.my/