Rabu, 5 September 2012

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Meninggal Dunia



Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir 

PETALING JAYA : Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir disahkan meninggal dunia pada petang Rabu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 petang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat serangan jantung petang pada Selasa.

Beliau dilahirkan di Kedah pada 16 Mei 1945 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani setelah memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 1999.

Allyarham merupakan bekas guru dan pernah menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah di Universiti Malaya, presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (KKAUM).

Sewaktu memegang jawatan sebagai timbalan menteri pendidikan, beliau memberi penekanan utama kepada para pelajar sekolah rendah terhadap pendidikan berasaskan teknologi maklumat terutama komputer.

Mempunyai minat membaca, beliau telah memperluaskan kewujudan Pusat Bacaan Rakyat (PUBARA) yang terdapat dibanyak daerah dalam Negeri Kedah.

Allahyarham turut memberi lebih perhatian kepada perpustakaan sekolah rendah untuk memantapkan lagi kemudahan sedia ada.

Jenazah allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Seksyen 14, Petaling Jaya dan dijangka akan dikebumikan pada pagi Khamis.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU KENEGARAAN : Pengisian 55 tahun kemerdekaan


 PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

SETIAP tahun apabila datangnya bulan sambutan kemerdekaan, ia dilihat amat signifikan untuk negara-bangsa ini, dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya sehingga ia lahir sebagai negara bersama merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963; membawa kepada 49 tahun penubuhan Malaysia.

Ia bukan sahaja menandakan 55 tahun kita sudah mengharungi hari kemerdekaan 31 Ogos 1957, tetapi juga menandakan tradisi 'syukur', 'berterima kasih', 'imbas', dan 'nilai' anjakan yang telah berlaku dan apa yang boleh dilakukan agar negara ini terus memacu kecemerlangan perubahan dalam kesinambungan yang telah dilakukan oleh warisan kepimpinan.

Pencapaian 55 tahun merdeka adalah pengisian kemerdekaan yang membezakan Malaysia dengan negara lain. Jika pengisian dan pencapaian kita sama dengan negara lain, kenapa Malaysia sering dijadikan contoh sebagai negara pesat membangun dan siapakah yang memeta pencapaian selama 55 tahun merdeka dengan pengisian yang membolehkan Malaysia gagah di mata dunia; bukan sebagai sebuah negara yang terletak antara Singapura dan Thailand lagi, tetapi digeruni kerana mampu membangun dengan pantas serta kesediaan melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah terfikir bagi sesebuah negara yang terus membangun seperti kita.

Hakikatnya, Malaysia sudah berubah wajah kerana proses pemodenan dan pembangunan pesat. Bagaimanakah Malaysia boleh tersenarai antara 21 negara paling kompetitif dalam Laporan World Economic Forum 2012; tangga ke-18 sebagai negara paling mudah memulakan perniagaan dalam Laporan Bank Dunia Doing Business 2012; yang 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing 2012; pendapatan perkapita negara pada AS$9,700; KDNK RM852.7 bilion dan PNK pula RM830.7 bilion tertinggi sejak 1957; dan hasil tertinggi iaitu RM185.54 bilion.

Setiap warga harus boleh mengimbas dan menilai persekitaran dan alam sekitar mereka untuk memahami pengertian sebenar kemerdekaan. Kita perlu bertanyakan mana datangnya pembangunan ekonomi, politik dan sosial sehingga Malaysia dihormati dan diiktiraf oleh negara mundur, pesat membangun dan maju.

Apakah dalam jangka masa 63 tahun merdeka pada 2020; kita boleh bersama menyuburkan semangat bangsa Malaysia yang menjunjung ketinggian Perlembagaan, fasih berbahasa Malaysia dan bangga menjadi warga Malaysia, takrifan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam merangka Wawasan 2020?

Insan yang menghuni negara ini ketika itu dan generasi transisi ke arah itu kini barangkali sudah boleh bergelar 'kelas satu di negara kelas pertama', bukan sahaja memiliki infrastruktur dan prasarana kemudahan kelas pertama tetapi bangsanya merupakan yang ada ilmu, kebolehan dan kemahiran yang diselaputi dengan nilai moral pada perilaku dan karakternya. Erti persaudaraan adalah pada kekuatan nilai kemanusiaan agar tidak ada sifat syak wasangka dan curiga dan mencari titik keseimbangan bersama demi masa depan tanah air dan generasi yang akan terus mewarisi setiap inci pusaka bumi ini.

Ia juga amat memerlukan jiwa nasionalisme dan patriotisme. Ia bukan semata-mata menaikkan bendera pada bangunan, rumah atau kenderaan. Ia juga bukan sekadar menyanyikan lagu Negaraku. Ia juga bukan sekadar menghormati nilai simbolik kenegaraan. Pembangunan juga adalah nasionalis; memelihara alam sekitar, menjaga kebersihan, mempunyai kualiti kehidupan yang baik, sektor pendidikan yang membanggakan, peluang pekerjaan, sektor kesihatan yang melihat kadar kelahiran lebih baik dari kematian, sukan dengan pencapaian yang cemerlang atau apa saja yang kita harungi setiap hari demi untuk negara; kesemua yang membawa unsur positif lahirnya dari kesungguhan untuk memartabatkan kebebasan dengan pengisian yang memberi manfaat kepada populasinya.

Sepanjang 55 tahun, ada kelemahan wujud dan diakui oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam proses merekayasa negara tetapi kita boleh menyoal, apakah sepanjang 55 tahun kemerdekaan, kita lebih banyak diselubungi masalah sehingga menyukarkan suapan diri atau pencapaian mendahului dan menutup kelemahan yang wujud tanpa dinafikan sebarang kelemahan perlu diatasi agar tidak menjejaskan pembinaan negara-bangsa. Misalnya, keperluan 40 peratus ahli masyarakat yang berada di bawah garis kemiskinan bandar dan luar bandar merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak perlu terus diberi kepentingan agar sumbangan mereka dihargai dengan memelihara kebajikan mereka.

Kita juga menyedari bahawa dunia ini tidak terpinggir dari kebencian tetapi di Malaysia, perlu ada keinginan untuk mempertahankan nilai kemerdekaan. Barangkali, pejuang kemerdekaan sudah membayangi kita akan berhadapan dengan keadaan yang kita lihat selepas 55 tahun sehingga bersedia untuk 'berkorban' dan 'berkompromi' di bawah gabungan besar politik kepartian agar masing-masing masih boleh gelak, ketawa, berjumpa, pejam mata dan esoknya negara masih kekal selamat.

Jangan menumpang simpati sisipan sejarah kerana tiada sebarang pertemuan yang direkacipta secara kosmetik dalam cubaan mendapatkan merdeka. Ia datang kerana pejuang kemerdekaan mencintai tata merdeka dan Raja-raja Melayu juga bersedia untuk memindahkan kuasa kepada pentadbiran kerajaan dan kekal sebagai ketua negara.

Tanpa Kontrak Sosial tidak akan lahir Perlembagaan dan tanpa Perlembagaan, tidak mungkin kita meraikan 55 tahun merdeka tahun 2012. Asasnya, warisan kepimpinan merangka masa depan bersama tanpa mengira latar belakang etnik, agama dan praktis berbeza dalam kehidupan kepelbagaian negara ini.

Pejuang kemerdekaan tidak mendidik perasaan bangga diri tetapi pandai merendahkan diri dengan tatacara sendiri. Dalam mendapat kemerdekaan ketika itu, semua yang baru hendak naik tidak sombong atau biadab tetapi kuat, tabah dan ampuh dengan pujian perwatakan; penekanan kepada nilai hormati antara satu sama lain.

Kemerdekaan tidak boleh ditukar ganti. Kestabilan, keamanan dan hidup muhibah tidak boleh dipisahkan dan dalam keadaan tidak menentu, ia tidak boleh dikorbankan. Ia mesti dijunjung oleh kesemua warga yang sayangkan makna merdeka dan pengisian di sebalik kemerdekaan.

Persahabatan dengan penipuan akan menggagalkan kebenaran. Jangan kita senyapkan sejarah merdeka dengan kemungkaran kita. Pengisian kemerdekaan hanya dapat dilakukan secara berterusan jika kita mahu memahami dan terlibat sama dalam proses penambahbaikan pembentukan negara ini dalam acuan sendiri.

Kita bertanggungjawab ke atas tindakan kita, mengikut tuntutan hati. Perjuangan kemerdekaan bukan untuk melihat siapa menang dan siapa kalah. Ini perjuangan bersama walaupun fahaman politik berbeza. Keangkuhan tidak boleh menghalalkan pembohongan semata-mata mahu melihat erti merdeka daripada lensa berbeza. Dalam perjuangan pengisian merdeka, jangan biarkan ketakutan menjadi perisai kegagalan. Biar tatacara dan sopan susila dalam Malaysia menggerunkan musuh di luar kerana warganya cekal dan bersatu.

Mari kongsi kesedihan dan kegembiraan negara atas nama Malaysia. Melalui kepercayaan ini kita mampu mengharungi apa sahaja masalah bersama, memberi dan menerima seadanya dan dapat lakukannya kerana percaya kita juga ada hak dan tanggungjawab. Tradisi lama boleh digantikan dengan tradisi generasi baru tanpa menghilangkan nilai sebenar di sebalik kesinambungan pembinaan 55 tahun Malaysia.

Pengisian kemerdekaan adalah pelengkap kepada transformasi yang merupakan satu perjalanan yang memerlukan kestabilan sepanjang masa dan bukan keadaan tidak menentu terutama dalam demografi dan populasi yang majmuk dan kompleks seperti Malaysia.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tan Sri Hamzah Abu Samah, tokoh sukan berpengalaman, ahli politik banyak berjasa



Hamzah Abu Samah (tengah) yang menerajui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ketika itu, Sepp Blatter (kiri) pada perasmian Akademi Kejurulatihan Remaja Antarabangsa FIFA di Kuala Lumpur pada tahun 1980-an. Turut hadir ialah pengurus pasukan kebangsaan ketika itu, Datuk Harun Idris (dua dari kanan).

 Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

ALLAHYARHAM Tan Sri Hamzah Abu Samah yang meninggal dunia akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor petang semalam adalah seorang tokoh yang banyak berjasa dalam bidang sukan dan politik.

Presiden Seumur Hidup Majlis Olimpik Malaysia (OCM) berusia 88 tahun yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.30 petang meninggalkan isteri Puan Sri Zainun Hussein dan tujuh orang anak.

Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan dalam Kabinet sebelum bersara pada September 1980 ketika berusia 56 tahun selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Anak kelahiran Raub, Pahang itu mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum melanjutkan pengajian undang-undang di Gray‘s Inn, England.

Beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Penyiaran pada Mei 1969 dengan tanggungjawab berat bagi menggunakan saluran media massa untuk meredakan ketegangan kaum yang berlaku pada tahun berkenaan.

Pada 1971 hingga 1973 beliau dilantik pula menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertahanan (1973-1974), Menteri Perdagangan dan Industri (1974-1978) dan akhir sekali sebagai Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara (1978-1980).

Dalam politik beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Temerloh, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Lembaga Disiplin parti itu.

Selain politik, beliau terkenal kerana memimpin pelbagai badan sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau telah menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia mulai 1976 hingga 1998.

Selain menjadi ahli kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sejak 1978, beliau juga menjadi Naib Presiden Kanan bagi Majlis Olimpik Asia pada 1982.

Di peringkat Asia Tenggara, beliau merupakan Presiden Kehormat bagi Persekutuan Sukan Asia Tenggara sejak 1977.

Sukan bola sepak juga telah menempatkan Allahyarham sebagai salah seorang pemimpin sukan yang dikenali ramai.

Beliau menjadi Presiden bagi Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dari 1978 hingga 1994, Presiden Kehormat AFC semenjak tahun 1994, Naib Presiden bagi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari Disember 1982 hingga Mac 1990 dan Ahli Eksekutif Kehormat FIFA (1990).

Beliau juga merupakan Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1984-1988.

Selain itu, beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Kriket Malaysia (1969-1990) dan Presiden Persatuan Taekwando Malaysia (1987-1999).

Kebolehan dan kepimpinan beliau dalam sukan turut membolehkan beliau dipilih sebagai Naib Presiden bagi Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sejak 1982 hingga 1998.

Beliau turut berperanan bagi membawa Sukan Komanwel 1998 ke Malaysia. Pada tahun berkenaan Allahyarham turut dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa bagi Malaysia membida sebagai tuan rumah Sukan Asia 2006 dan Sukan Olimpik 2008.

Sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara sumbangan Allahyarham pasti akan tetap dikenang oleh masyarakat selama-lamanya. Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Hukuman berat boleh kawal mercun


Oleh : Akhbar Satar
 
Main mercun bukan budaya Melayu

Isu mercun memang sinonim dengan musim perayaan tetapi itu bukan budaya Melayu. Setiap kali tibanya Ramadan atau musim perayaan, pasti ada laporan penyeludupan, penjualan serta kes kecederaan bermain mercun, ada yang putus jari, hancur tangan, cedera parah atau maut selain menyebabkan bencana lain seperti kebakaran rumah. Apa yang menyedihkan, jarang penulis mendengar bangsa lain yang merayakan hari kebesaran mereka cedera kerana bermain mercun. Mereka ini jarang menggunakan mercun buatan sendiri dan apabila bermain mercun ia diawasi ibu bapa. Amalan yang baik ini perlu dicontohi orang Melayu. Kesedaran mengenai aspek keselamatan masih pada tahap begitu rendah sehinggakan kesan buruk akibat bermain mercun yang sering dihebahkan media dipandang sepi masyarakat demi keseronokan sementara. Ramai yang tidak mengambil kisah seolah-olah yakin perkara sama tidak akan menimpa mereka.

Selain meriam buluh ada beberapa jenis mercun yang berbahaya dimainkan kanak kanak. Mercun bola yang dibalut dengan plastik adalah paling berbahaya berbanding mercun dibaluti kertas. Jumlah bahan letupan yang ada di dalam mercun ini lebih banyak daripada mercun biasa.

Buat masa ini polis hanya membenarkan dua jenis mercun, iaitu ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-pop’ kerana kedua-duanya tidak berbahaya dan tidak mendatangkan kecederaan. Penjualan dua jenis mercun yang dibenarkan ini juga perlu mendapat permit polis. Menjual atau menggunakan mercun adalah menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 selain dipenjara tujuh tahun atau dikenakan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Malah ibu bapa juga boleh didakwa di mahkamah kerana cuai membiarkan anak bermain mercun seperti terjadi kepada seorang bapa di Terengganu yang dihukum kerana anaknya terbunuh dalam kejadian letupan mercun dua tahun lalu.

Agensi penguat kuasa perlu memantau penyeludup bagi mengekang stok mercun yang dijual di premis perniagaan pada musim perayaan. Permintaan tinggi serta keuntungan besar penyeludup meneruskan jenayah itu. Pelbagai teknik dan taktik digunakan penjenayah terancang ini bagi mengaburi mata agensi penguat kuasa. Sering kali dilaporkan di dalam akhbar apabila tangkapan dibuat, penjenayah berjaya meloloskan diri meninggalkan mercun. Penulis sangat berharap tanggapan masyarakat bahawa agensi penguat kuasa terbabit ‘memberi laluan’ kepada penyeludup adalah tidak benar. Agensi penguat kuasa wajar berubah dan mencari strategi baru mengatasi masalah ini supaya penjenayah ditahan bersama barang seludup.

Agensi penguat kuasa pula perlu sentiasa mengekalkan maruah agar tidak menerima habuan dan bersekongkol dengan penyeludup. Kita perlu ingat bahawa penyeludup hanya memberi habuan seratus dua tetapi mereka untung jutaan juta ringgit sedangkan impak negatifnya kepada keselamatan orang ramai adalah tinggi. Jika kita berkhidmat dengan jujur dan mempunyai integriti tinggi, penyeludupan dan penjualan mercun dapat dihapuskan.

Satu lagi nilai integriti yang perlu ada pada kita ialah memastikan mercun dirampas itu dimusnah. Janganlah pula, mercun rampasan ini dibawa balik untuk kegunaan anak sendiri atau dijual kembali yang mana akhirnya jatuh kembali kepada penjenayah. Dilaporkan kebanyakan mangsa mercun ini dari Kelantan. Sebagai sebuah negeri sempadan sudah tentu stok mercun haram mudah dibawa masuk dari negara jiran. Langkah polis Kelantan melawat gerai serta premis perniagaan sambil mengedarkan risalah bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan sokongan mereka dalam membantu polis mencegah jenayah patut dipuji.

Pameran kemalangan dianjurkan polis perlu disertakan gambar ngeri akibat mercun. Khutbah Jumaat menjelang hari raya patut diselitkan dengan amaran bermain mercun untuk mengingatkan betapa bahayanya serta kesalahan undang-undang. Polis perlu mencari cara yang sesuai dengan masyarakat setempat dengan mengadakan kempen agar kemalangan bermain mercun tidak berulang. Penulis simpati dengan mangsa mercun yang bukan saja melecur seluruh badan tetapi gelap masa depan. Kesedaran pelajar dan ibu bapa sangat sangat diharapkan.

Jabatan Kastam Diraja pula hanya mendakwa kesalahan membawa masuk mercun mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum cukai dan selalunya mengenakan kompaun terhadap pesalah. Amalan ini menggalakkan mereka terus bergiat dalam penyeludupan. Namun, cadangan kastam membawa semua kes membabitkan kesalahan menyeludup, mengedar, menjual, membawa dan menyimpan atau memiliki mercun serta bunga api yang dilarang ke mahkamah bagi memastikan hukuman lebih berat adalah menarik. Penulis berharap di bawah cadangan pindaan ini, pihak mahkamah juga tidak berasa simpati dan mengenakan hukuman berat untuk mengawal masalah penyeludupan yang kini berleluasa.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/